Artikel: Umat Islam Kontemporari dan Cabaran Semasa

forumskil

Oleh: Nur Atiqah Mohd Razin

(Tulisan ini merupakan catatan nota terbaik daripada seorang pelajar Kulliyyah Bahasa Arab dalam sebuah forum SKIL yang dianjurkan pada 19 Oktober lepas. Ia dipaparkan di sini sebagai perkongsian buat yang tidak mampu hadiri forum, juga sebagai bacaan umum.)

Pusingan 1

Moderator, Aiman Rafie

Soalan 1: Apakah bentuk cabaran yang harus dihadapi oleh Umat Islam pada masa dahulu?

Panel 1, Amirul Imran

Gejala perpecahan dalam dalam sejarah manusia bukan sahaja berlaku dalam kalangan umat Islam, malah ia berlaku juga dalam kalangan umat Yahudi. Apabila kita meneliti kembali sejarah umat Islam, agama Islam itu bermulanya sejak era Nabi Muhammad SAW. Kemudian apabila bermula fasa penyebaran dakwah secara terang-terangan setelah berakhirnya fasa kerahsiaan dalam perjalanan dakwah nabi, bilangan umat Islam semakin bertambah. Sehinggalah berlakunya peperangan-peperangan bersejarah dalam Islam, seperti Perang Badar, Perang Uhud, Perang Khandak dan perang-perang yang lain. Wilayah Islam terus berkembang. Dalam proses Rasulullah menyebarkan agama Islam, Rasulullah juga harus mendepani golongan munafik yang gemar membatu-apikan umat Islam. Bermotifkan perpecahan dan perbalahan dalam kalangan umat Islam, golongan munafik merubah wajahnya menjadi musuh dalam selimut menyelinap dalam kalangan umat Islam yang setia.

Ketika zaman Khulafa al-Rashidin, para sahabat juga harus mendepani perpecahan umat. Tetapi tidak begitu ketara kerana kekuatan para sahabat dalam tampuk kepimpinan mereka. Sebagai contoh, ketika pemerintahan Umar al-Khattab kekuasaan Islam tumbuh dengan sangat pesat. Islam mengambil alih Mesopotamia dan sebahagian Parsi dari tangan Dinasti Sassanid[1] serta mengambil alih Mesir, Palestin, Syria, Afrika Utara dan Armenia daripada pemerintahan Rom Timur (Byzantium). Pada zaman ini, banyak jabatan-jabatan penting ditubuhkan bagi menstrategikan daulah pimpinannya. Wilayah Islam semakin meluas. Apabila umat mengalami simptom-simptom perpecahan, pembawakan Saidina Umar yang tegas dalam pemerintahannya menyelamatkan umat dari perpecahan. Di era pemerintahannya, Saidina Umar tidak terlepas daripada pelbagai krisis besar seperti tahun kekeringan, masalah ekonomi negaradan lain-lain. Namun, beliau mampu tanganinya dengan baik.

Dikhabarkan dalam sebuah hadith:

Berkata Hudzaifah Ibn al-Yaman: Suatu hari Saidina Umar bertanya:

” أَيُّكُمْ يَحْفَظُ قَوْلَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْفِتْنَةِ قُلْتُ أَنَا كَمَا قَالَهُ قَالَ إِنَّكَ عَلَيْهِ أَوْ عَلَيْهَا لَجَرِيءٌ قُلْتُ فِتْنَةُ الرَّجُلِ فِي أَهْلِهِ وَمَالِهِ وَوَلَدِهِ وَجَارِهِ تُكَفِّرُهَا الصَّلَاةُ وَالصَّوْمُ وَالصَّدَقَةُ وَالْأَمْرُ وَالنَّهْيُ قَالَ لَيْسَ هَذَا أُرِيدُ وَلَكِنْ الْفِتْنَةُ الَّتِي تَمُوجُ كَمَا يَمُوجُ الْبَحْرُ قَالَ لَيْسَ عَلَيْكَ مِنْهَا بَأْسٌ يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ إِنَّ بَيْنَكَ وَبَيْنَهَا بَابًا مُغْلَقًا قَالَ أَيُكْسَرُ أَمْ يُفْتَحُ قَالَ يُكْسَرُ قَالَ إِذًا لَا يُغْلَقَ أَبَدًا قُلْنَا أَكَانَ عُمَرُ يَعْلَمُ الْبَابَ قَالَ نَعَمْ كَمَا أَنَّ دُونَ الْغَدِ اللَّيْلَةَ إِنِّي حَدَّثْتُهُ بِحَدِيثٍ لَيْسَ بِالْأَغَالِيطِ فَهِبْنَا أَنْ نَسْأَلَ حُذَيْفَةَ فَأَمَرْنَا مَسْرُوقًا فَسَأَلَهُ فَقَالَ الْبَابُ عُمَر”.

-رواه البخاري-

“Adakah di antara kalian yang menghafal Hadis Rasulullah tentang fitnah? Hudzaifah berkata: Saya hafal seperti apa yang disebutkan Nabi, Umar menjawab: Sungguh kamu berani menjawabnya, bagaimana Beliau bersabda tentang hal itu? Aku menjawab: Fitnah seseorang pada keluarga, anak-anak dan tetangganya, akan dapat dihapus dengan solat, sedekah dan amar ma‘ruf (nahy munkar). Umar berkata: Bukan hal ini yang aku inginkan, tetapi yang akumaksudkan adalah fitnah yang datang bagaikan gelombang lautan. Berkata Hudzaifah: Tidak ada masalah bagimu dengan fitnah tersebut, wahai Amiral-Mukminin, antaramu dan fitnah itu ada pintu yang terkunci. Umar bertanya: Apakah kelak pintu itu akan dirosak atau dibuka, Hudzaifah berkata: Tidak, tetapi pintu itu akan dirosak. Umar bertanya: Sekiranya pintu itu dirosak maka tidak akan dapat ditutup kembali? Hudzaifah berkata: Ya benar. Berkata salah seorang perawi: kami segan bertanya pada Hudzaifah siapa yang dimaksudkan dengan “Pintu“tersebut, maka kami meminta agar Masruq bertanya padanya siapakah yang dimaksudkan dengan pintu itu, maka Masruq bertanya pada Hudzaifah dan ia menjawab bahawa pintu fitnah itu adalah Umar” HR. Bukhari.

Selepas zaman Umar al-Khattab, mulalah era pemerintahan Saidina Uthman bin Affan. Masyarakat mula berani memberontak. Umat Islam kembali menunjukkan simptom-simptom perpecahan. Banyak perkara yang menjadi perbalahan. Fitnah-fitnah semakin berleluasa dan sukar dibanteras. Antara faktor beraninya manusia memberontak ialah sifat Uthman yang agak lembut. Saidina Uthman terkenal dengan sifatnya yang pemalu dan lemah lembut. Walaupun begitu, Uthman merupakan seorang Khalifah yanag cerdas. Beliau melantik gabenor-gabenor bagi negeri-negeri jajahan Khulafa al-Rashidin dalam kalangan keluarganya. Setiap keputusan yang dilakukan mempunyai asbab yang tertentu. Namun di mata rakyat, hal ini dilihat seolah-olah Uthman seorang pemerintah monarki yang pilih kasih. Maka, pihak yang tidak bersetuju dengan pembawaan Uthman memberontak. Uthman RA akhirnya dibunuh dan pemerintahannya digantikan oleh Saidina Ali.

Peristiwa ini seumpama dengan konflik yang berlaku ketika pemerintahan Muammar Gaddafi di Libya tahun 2011. Hampir mencecah 42 tahun tempoh pemerintahan, membuatkan beliau antara pemimpin terlama memerintah dalam sejarah. Ketika Era pemerintahannya Gaddafi juga memperkenalkan sistem moral Islam yang melarang minuman alkohol dan berjudi di kalangan rakyatnya. Falsafah politik beliau direncanakan dalam sebuah buku rasmi Libya yang dinamakan ‘Buku Hijau‘. Bagaimanapun, dalam praktik pemerintahan, sistem politik yang dilaksanakan tidaklah idealis sebagaimana sepatutnya. Ini kerana Presiden Gaddafi berhadapan dengan kekangan dalam negeri dan terpaksa berhadapan dengan tekanan antarabangsa. Gaddafi didakwa oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa sehingga waran tangkap dikeluarkan untuk menangkap beliau atas kesalahan jenayah terhadap kemanusiaan. Gaddafi diburu kemudiannya oleh pemberontak tetapi beliau dan tujuh anak lelakinya berjaya melarikan diri. Pada hari Khamis, 20 Oktober 2011, Gaddafi berjaya dikesan di kampung asalnya di Sirte dan berjaya ditembak mati. (Wikimedia Foundation Inc, 2016)

Ketika Saidina Ali dilantik sebagai Khalifah yang keempat, fitnah keadaan semasa sudah terlalu banyak dan menular hebat sehingga Ali terpaksa melawan para sahabat atas sebab perselisihan. Seperti pertikaian yang berlaku antara Ali dan Muawiyyah sehingga terjadinya perang Jamal dan Perang Siffin. Maka wujudlah puak yang menyokong Saidina Ali, dan puak yang menyokong Saidina muawiyyah. Wujud pula puak Khawarij yang keluar daripada kedua-dua puak yang taksub kepada Saidina Ali dan muawiyah. Ketiga-tiga puak yang wujud ni mereka berideologi dan berkefahaman politik. Perpecahan umat Islam kepada tiga kumpulan major ini membawa kepada perubahan semasa umat Islam pada hari ini.

Konflik dunia sekarang yang berlaku di Negara Saudi dan Iran berpunca sejak ditampuk pimpinan mereka. Mereka tidak kisah Islam sunni atau syiah yang mengetuai kepimpinan negara. Perkara yang diutamakan adalah kuasa. Kekuatan seseorang pemimpin negara dalam mencatur perlembagaan dan sistem negara sehingga negara beroleh jutaan keuntungan. Namun, beruntungkah agama Islam di negara tersebut menjadi satu persoalan tiada jawapan. Ada tangan-tangan musuh Islam yang sentiasa berperanan bagi memastikan agama Islam bukan lagi fokus utama penganutnya. Ditambah lagi kejahilan umat Islam dalam kefahaman agama semakin bervirus menyebabkan fitnah dan ancaman terhadap agama kelihatan kabur. Tidak lagi jelas dan nyata seperti bezanya warna hitam dan putih.

Soalan 2: Adakah cabaran yang diterima pada zaman sahabat samadengan cabaran yang dihadapi zaman umat Islam pada zaman kontemporari?

Panel 2, Zul Majdi

Kita meneliti dan merenung apa yang melanda umat Islam pada waktu kini, Umat Islam begitu lemah dan tidak berdaya menghadapi gelombang fitnah yang menular. Di merata tempat umat Islam ditindas dan dijajah fikiran dan fizikalnya.

Apakah kecacatan sebenar yang melanda umat Islam? Professor Thohir daripada Department Usul Fiqh, UIA menyatakan dalam satu syarahannya, masalah umat Islam yang utama ialah:

  1. Al-Ummiyyat al-Diniyyah (Buta Agama)

Umat Islam tidak lagi memahami apa itu ibadah yang sahih, Umat Islam tidak lagi memahami apa makna sebenar dalam setiap ibadah yang dilakukan. Mereka hanya memahami Islam dari konteks umum sahaja. Bilangan umat Islam didunia pada hari bilangannya ramai, namun kualitinya bagaimana? Islam hanya pada nama, umat Islam tidak lagi merasa bertanggungjawab untuk memahami Islam secara keseluruhannya. Siapakah yang akan mampu menggantikan Shaykh Muhammad al-Ghazali, Shaykh Ahmad al-Fattani, Shaykh Atiyyah Saqr, Tok Kenali dan tokoh-tokoh besar yang lain?

Ayuh kita lihat salah seorang tokoh besar Ulama Nusantara yang datang dari Dunia Melayu. Namanya tidak asing lagi dalam kalangan kita sebagai penuntut ilmu agama. Beliau adalah Shaykh Ahmad al-Fattani. Shaykh Ahmad al-Fatani merupakan antara golongan pertama anak melayu yang diterima masuk belajar di Universiti al-Azhar lebih dikenali pada ketika itu dengan ”Masjid Jami’ al-Azhar”. Beliau telah berjaya menyusun beberapa risalah ketika beliau menuntut di Masjid Jami’ al-Azhar. Semua karya tersebut adalah dalam bahasa Arab dan digubah ke dalam bentuk syair yang begitu indah. Antara risalahnya itu ada yang di salin dan dipelajari oleh pelajar-pelajar tingkat awal di Mesir dan negeri-negeri lain di Benua Afrika. (Wan Mohd Shaghir, 2005, p. 53)

Antara risalah-risalah tersebut ialah:

  1. Jumanat al- Tauhid (1293 H/ 1876M)
  2. Munjiat al-‘Awwam liManhaji al- Huda mina al- Zhalam (1293 H/ 1876 M )
  3. Unqud al- La’ali (1296 H/1879 M)
  4. Manzumat al-Awamil (1296 H/ 1879 M)

Ketika di Mesir juga Shaykh Ahmad al-Fattani mula terlibat dengan usaha mencetak dan mentashih kitab-kitab Melayu-Jawi. Dengan inisiatif beliau maka sahabat beliau iaitu Shaykh Mustafa al-Babi al-Halabi telah banyak mencetak kitab-kitab Melayu-Jawi yang sebelumnya hanya disalin dengan tulisan tangan.

Setelah tujuh tahun menimba ilmu pengetahuan di Bumi Kinanah itu, beliau pun pulang ke Makkah. Dalam usia belum sampai 30 tahun beliau telah digelar sebagai Shaykh Ahmad al-Zaki Mesir (yang bijak dari Mesir) oleh orang-orang Melayu Makkah. Pada tahun kepulangannya itu juga, Sharif Hussin Raja Makkah mengadakan pertandingan dakwah dan pidato di Masjid al-Haram. Perkara yang menjadi perhatian dalam pertandingan tersebut ialah nilai-nilai sastera atau balaghah dalam bahasa Arab. Banyak ulama’ Arab Mekkah mengambil bahagian termasuk Shaykh Ahmad al-Fattani. Pertandingan tersebut ternyata telah menyerlahkan kewibawaan Shaykh Ahmad al-Faftani. Beliau telah diumumkan sebagai juara pertandingan tersebut. Sejak peristiwa itu, nama beliau dikenali oleh penduduk Mekkah. Kejayaan beliau dalam pertandingan ini, akhirnya beliau telah dilantik sebagai ahli bahasa kerajaan Makkah. Tugas beliau ialah memeriksa surat-surat rasmi kerajaan yang penting-penting sebelum dihantar ke merata tempat. Demikian juga beliau berperanan menggubah semula syair-syair yang akan dijadikan sebagai syair rasmi kerajaan (Wan Mohd Shaghir, 2005, pp. 54-56).

Ulama-ulama terdahulu begitu hebat dalam penguasaan mereka terhadap ilmu-ilmu dan disiplin-disiplinnya. Mereka mampu memartabatkan ilmu mereka sehingga kita; anak cucu-cicitnya dapat menikmati hasil-hasil dari usaha keras mereka dalam majal keilmuan. Oleh kerana itu, seorang manusia terutama seorang Dai’e seharusnya mengetahui sekurang-kurangnya ilmu bahasa, agar kita biasa memahami bahasa dan kondisi umat semasa.

Tidakkah kita berasa bimbang atas apa yang berlaku kepada umat Islam dunia kita hari ini? 70% -80% umat Islam hari ini tidak solat, zina berjemaah, buta tentang agama. Virus al-Ummiyyat al-Diniyyah ini semakin merebak dan menular dalam kalangan masyarakat Islam. Bahkan mereka tidak lagi merasa malu apabila melakukan maksiat secara terang-terangan malah merasa bangga sehingga cerita aib tersebut dijaja kepada seluruh pelusuk alam melalui media sosial dan sebagainya.

Di Malaysia, terdapat satu gerakan yang dikenali sebagai JIT (Jangan Ikut Tuhan) yang terdiri daripada kalangan muda-mudi Melayu. Kumpulan JIT ini telah dikatakan sebagai kumpulan anti-teis, iaitu menolak kewujudan Tuhan dan semua agama malah mereka memuja syaitan. Kumpulan ini berasal dari kumpulan muzik rock metal seperti Black Sabbath pada tahun 60-an dan 70-an. Ahli baru yang direkrut dalam kalangan lelaki atau perempuan akan menjalani satu proses pemujaan yang menghina agama Islam iaitu mengelilingi unggun api sambil mengoyak al-Quran dan membakarnya. Selain itu, ahli yang direkrut juga diminta melakukan hubungan seks diatas helaian al-Quran yang dikoyak. (Baharudin, 2007)

  1. Terlalu berkiblat dan fanatik kepada kebudayaan barat dan timur.

Budaya hedonisme yang melampau kononnya mampu memberikan kegembiraan kepada hati mereka. Mereka beriman kepada hiburan bahawa sesungguhnya hiburan dapat merawat luka kehidupan dan melupakan mereka kepada permasalahan hidup. Mengikut kadar statistik carta website yang paling banyak dilayari oleh rakyat Malaysia Video game pada ranking pertama dan pornografi pada tempat kedua.[2]

Jika hari ini kita lihat sebegini rupa identiti umat Islam, yang begitu lemah dan tiada kesatuan, apa lagi yang boleh kita harapkan generasi kita akan datang? Demikian itu, kita sebagai mahasiswa-mahasiswi Islam harus sentiasa kuat dan mencintai ilmu. Kelak nanti kita boleh mendidik generasi baru dengan ilmu yang sohih dan boleh dipraktikkan dalam kehidupan.

Soalan3 : Apakah cabaran dalaman yang dihadapi oleh umat Islam?

Panel 3, Hilman Fikri

Konsumerisme; satu budaya masyarakat yang taksub dalam berbelanja melebihi keperluan secara melampau. Allah berfirman dalam al-Quran:

يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلا تُسْرِفُوا إِنَّهُ لا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ
“Hai anak Adam, pakailah pakaian kamu yang indah berhias tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampau.”-Al-A’raf 7:31-

Budaya ini tidak menggalakkan penggunaan fakulti hati manusia untuk menilai awlawiyyat. Membeli pelbagai barang yang melebihi daripada keperluan harian, sekadar memenuhi kehendak secara melampau akan mengundang akibat yang besar kepada ekosistem bumi. Secara tidak sedar, budaya ini sebenarnya mendidik masyarakat terbiasa hidup senang dan leka daripada fokus utama seorang manusia itu perlu mentadbir dunia dengan kebijaksanaan akalnya.

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً ۖ قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ ۖ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ

“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi”. Mereka berkata: “Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui”. –al-Baqarah 2:30-

Dalam Islam kita ada konsep muhasabah;iaitu kita memikirkan kembali apa yang telah kita lakukan dalam harian kita. Apabila budaya konsumerisme ini telah menjadi darah daging manusia, kita akan lupa kepada banyak perkara. Bagaimana umat Islam di luar sana yang hari-harinya memungut sisa-sisa roti untuk menampung kehidupan seharian. Lupakah kita bahawa umat Islam di merata tempat merana hanya untuk membasahkan mulut mereka, itu juga belum tentu mampu menghilangkan perit tekak yang menahan lapar dan dahaga berhari-harinya. Konsumerisme dan hedonisme yang tidak terbanteras akan menjadikan masyarakat sentiasa berada dalam zon selesa, sedangkan umat Islam seluruh dunia harus bersatu menyelesaikan masalah ummah bersama. Maka itu lah sebenarnya peranan kita sebagai KHALIFAH seperti yang dinyatakan Allah dalam surah al-Baqarah ayat 30.

Konsumerisme – telah ditakrifkan sebagai satu budaya dan cara fikir. Fikirannya hanya untuk menyelenggara perut dan keperluan kesedapan hidup. Fikirannya tidak tertumpu kepada penyelenggaraan akal dan hatinya. Dalam isu ini, wanita merupakan mangsa konsumerisme yang paling besar. Setiap sisi hidup seorang wanita dijadikan bahan untuk mencipta baranganseperti tudung, brooch, baju dan lain-lain. Ditambah lagi dengan reka cipta design yang pelbagai, fesyen yang mempunyai musim-musimnya, dan kualiti barangan yang dijual. Semua aspek ini menuntut kepada penerokaan alam sekitar secara meluas. Manusia akan berlumba-lumba mengejar keuntungan materialistik, mempopuliskan jenama dan mencipta nama di mata dunia. Bermulalah perlumbaan dalam arena ekonomi di seluruh negeri. Ada yang berlumba menara siapa yang paling megah dan tinggi. Ada yang berlumba enjin siapa lebih pantas dan cekap. Maka, manusia menjadi lupa, tersasar jauh dari matlamat sebenar. Pada hari ini, sukar kita mencari kumpulan manusia yang berentitikan konsep tawazun. Sepertimana, dalam rekod sejarah ketamadunan manusia ketika zaman 2/3 Islam menaungi dunia, wujudnya tokoh-tokoh jurutera dan saintis yang hebat, pada masa yang sama kuat juga hubungan rohaninya dengan pencipta.

Demikianlah perubahan zaman yang berlaku sejak turun-temurun. Hari ini, manusia dijajah dengan pelbagai –isme sehingga merubah cara hidup dan cara fikir secara keseluruhannya. Maka, kita dapat lihat bahawa sejarah itu bukan cacatan lama yang berlayak menjadi sekadar antik. Sejarah sebenarnya memberi kita satu pengajaran atau bentuk postmoterm yang seharusnya kita kaji selidik untuk kebaikan dunia semasa. Seperti kata-kata Dr Ashraf Ezzat dalam bukunya “Ancient Egypt Knew No Pharaohs”:

“If you think that history is all about the past, you’d better think again…”

Pusingan kedua

Soalan: Apakah cabaran umat Islam dalam mendepani sektarianisme (taasub kumpulan)

Panel 1, Amirul Imran

Sektarianisme ialah diskriminasi atau kebencian yang muncul akibat perbezaan di antara suatu kelompok, seperti perbezaan denominasi agama atau fraksi politik. Konflik sekterianisme berlaku dalam blok dunia melibatkan golongan nasionalis dan unionis Dalam agama kristian juga berlaku konflik mazhab antara pengikut katolik dan protestan. Dalam agama Islam pula berlaku konflik melibatkan mazhab syiah dan sunni. (Wikimedia Foundation Inc, 2016)

Asas yang digunakan dalam sekterianisme dalam isu yang berlaku dalam kalangan umat Islam ialah berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: اِفْتَرَقَ الْيَهُوْدُ عَلَى إِحْدَى أَوْ ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِيْنَ فِرْقَةً، وَتَفَرَّقَتِ النَّصَارَى عَلَى إِحْدَى أَوْ ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِيْنَ فِرْقَةً وَتَفْتَرِقُ أُمَّتِيْ عَلَى ثَلاَثٍ وَسَبْعِيْنَ فِرْقَةً.

“Dari Abu Hurairah ra, ia berkata: “Rasulullah SAW telah bersabda, ‘Kaum Yahudi telah terpecah menjadi tujuh puluh satu golongan atau tujuh puluh dua golongan, dan kaum Nasrani telah terpecah menjadi tujuh puluh satu atau tujuh puluh dua golongan, dan umatku akan terpecah menjadi tujuh puluh tiga golongan.” (Al-Ustaz Yazid Abdul Qadir Jawas, 2004)

Hadith yang diriwayatkan oleh Mu’awiyah bin Abi Sufyan :

عَنْ أَبِيْ عَامِرٍ الْهَوْزَنِيِّ عَبْدِ اللهِ بْنِ لُحَيِّ عَنْ مُعَاوِيَةَ بْنِ أَبِيْ سُفْيَانَ أَنَّهُ قَامَ فِيْنَا فَقَالَ: أَلاَ إِنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَامَ فِيْنَا فَقَالَ: أََلاَ إِنَّ مَنْ قَبْلَكُمْ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ اِفْتَرَقُوْا عَلَى ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِيْنَ مِلَّةً وَإِنَّ هَذِهِ الْمِلَّةَ سَتَفْتَرِقُ عَلَى ثَلاَثٍ وَسَبْعِيْنَ. ثِنْتَانِ وَسَبْعُوْنَ فِي النَّارِ وَوَاحِدَةٌ فِي الْجَنَّةِ وَهِيَ الْجَمَاعَةُ.

“Dari Abu ‘Amir al-Hauzaniy ‘Abdillah bin Luhai, dari Mu’awiyah bin Abi Sufyan, bahawasanya beliau (Mu’awiyah) pernah berdiri di hadapan kami, lalu beliau berkata: “Ketahuilah, sesungguhnya Rasulullah SAW pernah berdiri di hadapan kami, kemudian baginda bersabda, “Ketahuilah sesungguhnya orang-orang sebelum kamu dari ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) terpecah menjadi 72 (tujuh puluh dua) golongan dan sesungguhnya umat ini akan berpecah-belah menjadi 73 (tujuh puluh tiga) golongan, (adapun) yang tujuh puluh dua akan masuk Neraka dan yang satu golongan akan masuk syurga, iaitu “al-Jama’ah.”(Al-Ustaz Yazid Abdul Qadir Jawas, 2004)

Hadith ini merupakan sebuah hadith yang sangat popular di kalangan majoriti umat Islam. Sebahagian aliran pemikiran menjadikan hadith ini sebagai hadith pokok dalam menjustifikasikan kebenaran aliran mereka. Di samping itu, ia juga seringkali digunakan sebagai senjata ampuh untuk menjatuhkan kelompok yang membawa aliran berbeza seterusnya berlakulah gejala saling kafir-mengkafirkan dan saling sesat dan menyesatkan antara satu sama lain. Maka bagaimanakah caranya kita bisa mengenali al-Firqah al-Najiyah (golongan yang terselamat)[3] pada dunia semasa kita?

Masalahnya ialah kefahaman umat Islam terhadap agama Islam. Persoalannya ialah bagaimana umat Islam hari ini harus bertindak dalam mendepani fitnah yang besar lagikan kabur. Maka solusi yang dapat difikirkan ialah:

  1. Wacanakan ilmu supaya masyarakat terbuka dan terdedah dengan perkara-perkara utama. Ilmu merupakan bayyinah yang jelas dan mampu membentengi seorang Muslim itu daripada kebinasaan.
  2. Apabila kita memahami satu ideologi, kita perlu sentiasa islahkan diri. Usah cepat melenting dan mengkafirkan orang. Dengan kata lain, kematangan dalam menimbang-tara ilmu yang difahami dalam konteks semasa.
  3. Agamawan perlu menyampaikan ilmu mereka sesuai dengan mawqi’ semasa dan kondisi masyarakat. Asas kita adalah ilmu. Dan dari ilmu itu akan lahir kasih sayang; bukan kebencian. Bukan juga mitos atau nilai semata-mata. Asas agama Islam itu adalah pokok utama untuk memahami segala sesuatu.

Soalan 2: Mengapa trend ekstremisme bisa muncul dalam kalangan umat Islam?

Panel 2, Zul Majdi

Fahaman radikal ini berpunca daripada kejahilan. Mereka bertindak tanpa fahaman dan sandaran yang kuat. Maka dengan mudah musuh Islam menyusup masuk ke dalam sistem kehidupan masyarakat Islam dan merosakkannya. Allah menyebut di dalam al-Quran tentang sifat Kuffar terhadap orang Islam dengan jelas, dan seharusnya kita sebagai umat Islam harus menyedari dan berperanan sebagai perisai melindungi agama Islam.

وَلَنْ تَرْضَى عَنْكَ الْيَهُودُ وَلا النَّصَارَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الْهُدَى وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُمْ بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ مَا لَكَ مِنَ اللَّهِ مِنْ وَلِيٍّ وَلا نَصِيرٍ

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan redha kepadamu sebelum kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah, “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang sebenarnya)” dan jika kamu mengikuti keinginan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.”

–al-Baqarah 2:120-

Terdapat sebuah hadith Rasulullah SAW menjelaskan tentang lima bentuk kesusahan yang akan dihadapi oleh individu muslim:

عن أنس بن مالك رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم:

 (المؤمن بين خمس شدائد مؤمن يحسده ومنافق يبغضه وكافر يقاتله ونفس تنازعه وشيطان يضله)

(أخرجه أبو بكر بن لال في مكارم الأخلاق من حديث أنس).

Daripada Anas bin Malik ra: Rasulullah SAW bersabda :“Orang mukmin itu berhadapan dengan lima jenis kesusahan iaitu mukmin lain yang hasad terhadapnya, orang munafik yang membenci akannya, orang kafir yang memeranginya, nafsu diri yang mengobsesikan dan syaitan yang menyesatkan”

(Diriwayatkan oleh Abu Bakar bin Lal dalam Makarim al-Akhlak dari Hadith Anas)

(الطيار, 2010)

  1. Orang Mukmin lain yang hasad terhadapnya

Sudah menjadi lumrah hidup bahawa orang mukmin itu akan dihasad oleh orang mukmin yang lain atas berbagai sebab. Boleh jadi kerana cemburu sebab orang mukmin itu menempa kejayaan. Atau mereka mendapat perhatian dan sokongan masyarakat. Atau mereka mendapat pengaruh melebihi orang mukmin yang hasad itu, lebih-lebih lagi kalau yang hasad itu mempunyai kuasa dan autoriti. Adalah baik kejahatan mereka itu tidak dibalas malahan didiamkan sahaja. Dibiarkan dan dilupakan. Sikap ini dapat mengelakkan masalah menjadi lebih besar atau lebih rumit. Masyarakat juga akan selamat dari ketegangan dan kekeliruan.

  1. Orang munafik yang membenci orang mukmin.

إِذْ يَقُولُ الْمُنَافِقُونَ وَالَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ غَرَّ هَٰؤُلَاءِ دِينُهُمْ ۗ وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

“(Ingatlah), ketika orang-orang munafik dan orang-orang yang ada penyakit di dalam hatinya berkata: “Mereka itu (orang-orang mukmin) ditipu oleh agamanya”. (Allah berfirman): “Barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, maka sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”.

-al-Anfal 8:49-

Munafik di zaman Rasulullah dan hari ini rupanya berbeza. Seorang munafik di zaman Rasulullah hatinya tidak beriman dan dia hanya mempamerkan dirinya sebagai Islam untuk menipu umat Islam. Munafik hari ini, dia yakin dia Islam. Dia melakukan semua kewajipan sebagai seorang muslim. Tetapi ada perkara dalam Islam yang diragui. Dia ragu rezeki datangnya dari Tuhan, lalu dia menghambakan dirinya kepada majikan. Segala kehendak mereka diturutkan meskipun bercanggah dengan Islam. Dia tidak yakin dengan sistem pemerintahan Islam, tetapi yakin dengan sistem pemerintahan barat yang jelas bertentangan dengan konsep Islam. Inilah wajah munafik hari ini, rupanya seperti orang Islam, tetapi kehidupannya tidak Islam. Islam itu agama yang meliputi seluruh aspek dalam kehidupan, namun hari ini kita lihat, Islam itu seperti jenama. Islam hanya cukup sekadar sebagai dakwat hitam diatas dokumen peribadi, tidak sebagai imej yang menjadi keterampilan diri.

  1. Orang kafir yang memeranginya

وَلَا يَزَالُونَ يُقَاتِلُونَكُمْ حَتَّىٰ يَرُدُّوكُمْ عَنْ دِينِكُمْ إِنِ اسْتَطَاعُوا ۚ وَمَنْ يَرْتَدِدْ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَيَمُتْ وَهُوَ كَافِرٌ فَأُولَٰئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ ۖ وَأُولَٰئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

“Mereka tidak henti-hentinya memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu dari agamamu (kepada kekafiran), seandainya mereka sanggup. Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.”

-Al-Baqarah 2:217-

  1. Nafsu diri yang mengobsesikan

قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لَا تَغْلُوا فِي دِينِكُمْ غَيْرَ الْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعُوا أَهْوَاءَ قَوْمٍ قَدْ ضَلُّوا مِنْ قَبْلُ وَأَضَلُّوا كَثِيرًا وَضَلُّوا عَنْ سَوَاءِ السَّبِيلِ

Katakanlah: “Hai Ahli Kitab, janganlah kamu berlebih-lebihan (melampaui batas) dengan cara tidak benar dalam agamamu. Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang telah sesat dahulunya (sebelum kedatangan Muhammad) dan mereka telah menyesatkan kebanyakan (manusia), dan mereka tersesat dari jalan yang lurus”.

-Al-Maidah 5:77-

  1. Syaitan yang menyesatkan

Jalan utama bagi syaitan untuk menyesatkan kita ialah melalui nafsu. Jika nafsu tidak terkawal dan tidak terdidik maka luaslah jalan masuk bagi syaitan. Jalan-jalan syaitan ialah sifat-sifat mazmumah seperti tamak, pemarah, sombong, ego, bakhil dan sebagainya. Tipuan dan bisikan syaitan sangat halus. Manusia mudah terjebak dan tertipu olehnya. Ia bermula dengan merosakkan aqidah. Jika ia berjaya lakukannya, maka ia telah menang dengan sekali pukulan sahaja. Kalau ia tidak berjaya merosakkan aqidah, ia akan merosakkan amalan dengan menjadikan manusia was-was sehingga manusia berasa jemu dan letih untuk beramal. Jika ini tidak berjaya, ia akan cuba merosakkan hati orang supaya riak, ujub atau berhasad dengki. Ini semua akan merosakkan dan membakar amalan. Hakikatnya, syaitan tidak kenal putus asa. Ia tidak jemu dan tidak letih untuk menipu dan menyesatkan manusia.

Satu cerita tentang seorang wanita Belgium, bernama Maisar. Beliau seorang perempuan sekular yang mulai berasa jemu dengan corak kehidupannya. Ketika wanita ini seorang anak muda belasan tahun, beliau ingin berhijrah menjadi seorang yang lebih baik, bercita-cita ingin memiliki sebuah kehidupan yang teratur dan tenang. Beliau merasakan kehidupannya semakin liar dan tidak terkawal menyebabkan dia melalui satu fasa yang plain, seolah hatinya telah mati pada kehidupan.

Suatu hari, terdetik pada hatinya untuk mencuba hijab. Beliau melilit kepala beliau dengan hijab lalu dimuatturun ke dalam media sosial. Respon baik dan memberansangkan yang didapatinya menyebabkan hatinya mulai senang dan berhajat tegar untuk melakukan hijrah. Ketika itu, Maisar didatangi oleh seorang muslimah yang baik. Mereka menjadi akrab. Banyak perkara baru yang dipelajari oleh Maisar sepanjang tempoh perkenalan itu. Sehinggalah suatu ketika, beliau mendapati bahawa muslimah tersebut merupakan seorang yang radikal dan bersifat extreme dalam agama. Hal ini menyebabkan Maisar ketakutan dan kecewa lalu beliau kembali menjadi seorang wanita seperti sebelumnya. Maisar kembali kepada rutin lama dan menjalani kehidupan seperti sebelumnya.

Menurut satu transkrip[4] kepada penulis buku “The Islamist: Why I Joined Radical Islam in Britain, What I Saw Inside and Why I Left[5] karangan Ed Husain[6], perkara yang menyebabkan orang Islam ingin menyertai gerakan ekstrem.

  1. Suasana Islamfobia yang diterima oleh orang Islam di bukan Islam majoriti, orang bukan Islam menganggap Islam satu agama yang ganjil, tidak relevan dan tidak sesuai pada konteks semasa.
  2. Silibus buku teks yang meracuni fikiran umat Islam.
  3. Tertarik dengan propaganda Islam, tanpa penilaian ke atas manhaj dan wasilah yang benar
  4. Sentimen kemarahan kepada pembunuhan muslim di Balkan
  5. Mempunyai strategi yang tersusun.
  6. Berlaku diskriminasi ke atas orang yang berkulit gelap.
  7. Penyebaran oleh agamawan tentang fahaman-fahaman ekstrem di negara Belgium.

Rujukan

[1] Dinasti Sassanid jatuh di bawah kekuasaan Umar al-Khattab, mengakhiri kekaisarannya. Kekaisaran Sassanid merupakan Kekaisaran Parsi pra-Islam terakhir dan dipimpin oleh Dinasti Sassanid pada tahun 224 hingga 651 M. Kekaisaran Sassanid, yang menggantikan Kekaisaran Parthia atau Kekaisaran Arkasid, diakui sebagai salah satu kekuatan utama di Asia BaratSelatan, dan Tengah, bersama dengan Kekaisaran Rom Barat dan Kekaisaran Byzantium, dalam tempoh selama lebih dari 400 tahun

[2]Rujuk Johari Hassan & Raja Shahrina Raja Abdul Rashid, Volume 6 June 2012, Journal of Technical, Vocational & Engineering Education: Ketagihan Penggunaan Internet Di Kalangan Remaja Sekolah Tingkatan 4 Di Bandaraya Johor Bahru. [http://eprints.utm.my/26348/1/JTVEE-06-2012-003.pdf]

Rujuk Ahmad Fauzi Mustafa, Berita Harian Online: Usah berlengah perangi pornografi internet, (SABTU, 23 Ogos 2014):  [http://www1.bharian.com.my/node/2134]

[3]Keterangan berkenaan Golongan Yang Terselamat boleh drujuk dengan teliti dan terperinci dalam buku Manhaj al-Firqah al-Najiyah karangan Shaykh Muhammad bin Jamil Zainu

[4]Rujuk : Transcript For Ed Husain — Reflections Of A Former Islamist Extremist

[5]Ringkasan tentang buku, boleh dibaca di: https://www.theguardian.com/books/2007/may/06/politics dan https://indypendent.org/2009/06/04/muslim-and-out-review-Islamist-why-i-became-Islamic-fundamentalist-what-i-saw-inside-and-why-i-left

[6]seorang anggota senior untuk Studi Timur Tengah pada Dewan Urusan Luar Negeridi New York. Dia dilantik untuk menyertaiFreedom of Religion or Belief Advisory Group daripada British Foreign and Common Wealth Office. Beliau juga merupakan ahli Panel Penilai Bebas bagi Komuniti Engagement Global dan Tabung Ketahanan (GCERF)

[7]Al-Ustaz Yazid Abdul Qadir Jawas. (2004, March 11). Kedudukan Hadits Tujuh Puluh Tiga Golongan Umat Islam. Retrieved October 23, 2016, from Media Islam Salafiyyah, Ahlussunnah wal Jama’ah: https://almanhaj.or.id/453-kedudukan-hadits-tujuh-puluh-tiga-golongan-umat-Islam.html

[8]Baharudin, A. H. (2007). Menjadi Survivor Dalam Dunia Penuh Cabaran. Batu Caves, Selangor: PTS Millenia SDN. BHD. Retrieved October 23, 2017, from https://books.google.com.my/books?id=5EgAAleOmLEC&pg=PA166&lpg=PA166&dq=jangan+ikut+tuhan+malaysia&source=bl&ots=4A9fIQq40D&sig=27FChyfxDBaeYP5U6oXB7njiolQ&hl=en&sa=X&redir_esc=y#v=onepage&q=jangan%20ikut%20tuhan%20malaysia&f=false

[9]Ridwan, A. F. (2013, December 1). Sikap Seorang Muslim dalam Menghadapi Fitnah Akhir Zaman. Retrieved October 23, 2016, from Meniti Jejak Para Sahabat: https://www.abufairuz.com/2013/manhaj/sikap-seorang-muslim-dalam-menghadapi-fitnah-akhir-zaman/

[10]Wan Mohd Shaghir. (2005). Shaykh Ahmad Al-Fathani. Kuala Lumpur: Khazanah Fathaniyah.

[11]Wikimedia Foundation Inc. (2016, October 20). Muammar Gaddafi. Retrieved October 23, 2016, from https://en.wikipedia.org/wiki/Muammar_Gaddafi

[12]Wikimedia Foundation Inc. (2016, October 6). Sectarianism. Retrieved October 23, 2016, from Wikipedia: https://en.wikipedia.org/wiki/Sectarianism

[13]الطيار, أ. د. (2010, January 26). الشدائد التي يتعرض لها المؤمن. Retrieved October 24, 2016, from شبكة الألوكة: http://www.alukah.net/sharia/0/9388/

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s