Masyarakat Madani dan Prospek Sebuah Negara Ideal

(Tulisan ini dipetik daripada tulisan asal berjudul Masyarakat Madani dan Prospek Sebuah Negara Ideal, bertarikh 13 September 2015. Kandungan dikekalkan sebagaimana asal.)

Oleh: Hilman Fikri Azman

Abstrak

Kami memberi tumpuan kepada penghasilan tulisan ini kerana di hadapan kami terdapat beberapa tujuan pencerahan yang ingin dicapai. Yang pertamanya, kami berusaha untuk mendemonstrasikan interaksi tiga hala antara masyarakat madani, masyarakat dan kerajaan. Begitu juga dalam tulisan ini kami berusaha untuk membatalkan dakwaan bahawa demokrasi merupakan faktor asasi kepada kemunculan masyarakat madani sebaliknya kami berhujah bahawa agama juga mampu menjadi penggerak utama kepada kemunculan masyarakat madani.

Mukadimah

Kuantiti manusia semakin berganda saban tahun. Bermula sejak 1950, bilangan manusia di bumi sudah berganda 3 kali ganda daripada kebiasaannya. Masalah yang wujud juga semakin meningkat seiring peningkatan manusia. Di setiap negara, kerajaan sudah terlalu bingung untuk menyelesaikan kemelut dan kekalutan yang membelit tubuh mereka seperti krisis politik nasional, ekonomi negara, sosioekonomi masyarakat, kemusnahan alam sekitar, ancaman geopolitik global, masalah peribadi, masalah itu dan masalah ini. Sungguh malang sekali nasib pemimpin yang hidup pada zaman penuh pancaroba ini.

Melihat keluar di segenap pelusuk bumi, konflik kemanusiaan terus berlarutan dan ia memerlukan rawatan segera. Wabak penyakit moden, kebuluran, kemunduran sikap, gejala buta huruf, perang saudara, perang proksi dan musibah lainnya yang menimpa kemanusiaan menjadi semakin parah dan tragik. Akan tetapi, bagaimana mungkin kerajaan menyelesaikan konflik ini sedangkan otak mereka sudah tepu, dan mereka tidak cukup tangan untuk menguruskan polemik yang sedia ada bertimbun. Bantuan masih belum kunjung tiba.

Di negeri Maghribi yang jauh dari kehidupan Muslim itu, hidup sebatang pohon kemanusiaan yang tumbuh di tepi jendela. Sekian lama tidak melihat sinaran matahari, pohon kemanusiaan itu kini semakin layu. Cengkaman akarnya dahulunya erat kian melemah, tidak sekuat dulu-dulu lagi. Menyingkap tirai kemanusiaan, di luar sana masih gelap, belum nampak tanda-tanda fajar bushra akan menyinsing. Dan pohon kemanusiaan semakin lemah tidak bermaya. Kloroplasnya sudah mula mereput dahagakan cahaya.

Mendongak ke langit untuk menatap cerminan wajahnya Tuhan, timbul ketenangan yang melimburi minda, dada dilapangkan menunggu harapan. Langit tidak akan selamanya gelap. Kelak fajar pasti menyinsing jua. Dan sinaran murnidari Timur yang ditunggu-tunggu pun muncullah jua. Bagaikan melihat ahli keluarganya yang telah lama dirindui, pohon kemanusiaan mula berseri-seri apabila daun-daunnya mula dilimpahi sinaran suria.

Mahu terima atau tidak, setiap manusia telah dibebankan dengan taklifan dari Tuhan untuk menjalani hidup ini dengan baik. Bilangan manusia yang ramai memenuhi planet Bumi pada hari ini tidak dihadirkan Tuhan dengan sia-sia, melainkan mempunyai tujuan-tujuan tertentu. Dalam menanggapi realiti dan permasalahan yang dihadapi kemanusiaan kita pada hari ini, kuantiti manusia yang ramai sebenarnya berperanan untuk tampil ke hadapan dengan penyelesaian. Yakni, mereka yang mempunyai kesedaran dan kecintaan kepada keamanan dan kemanusiaan. Zeitgeist kemodenan seiringan dengan semangat demokrasi, telah melabel mereka dengan kalimat pascamoden sebagai masyarakat madani (al-mujtama‘ al-fāḍil).

Kemunculan Masyarakat Madani sebagai Zeitgeist Moden

main-qimg-03584a02809672294e788cab73ce8a76-cTelah dikatakan secara meluas oleh sarjana-sarjana Barat bahawa konotasi masyarakat madani telah dikesan seawal zaman kegemilangan falsafah Yunani lagi, tatkala Aristotle berfalsafah di sekeliling kota mengenai konsep polis. Walaubagaimanapun, kepercayaan tersebut dilihat lebih bersifat “tangkap-muat” sebagai usaha untuk melibatkan falsafah Yunani ke dalam wacana masyarakat madani kontemporari ini. Sangkalan ini terbina atas beberapa hujah. Pertamanya, konsep polis sebagaimana dalam sejarah Yunani adalah gambaran kepada struktur masyarakat serta sistem yang diterapkan dalamnya, yang sebenarnya lebih sinonim kepada konsep city-state berbanding masyarakat madani pada hari ini. Oleh itu, polis adalah amat berbeza dengan apa yang dimaksudkan sebagai masyarakat madani. Keduanya, kewujudan polis juga dapat dikesan dalam tamadun lain dengan nama berbeza seperti Mohenjo-Daro, bahkan merupakan perkara biasa yang wujud dalam tamadun purba yang jauh lebih tua daripada Yunani seperti tamadun Harappa di sungai Indus dan tamadun Mesopotamia di antara dua sungai Tigris dan Euphrates

Adapun masyarakat madani yang dimaksudkan di sini adalah fabrik bangsa merdeka yang disulami dengan bebenang kematangan, pencerahan dan demokrasi zaman pascamoden. Masyarakat madani mampu bergerak dan mencetus perubahan, tanpa perlu berpaut kepada pendanaan dan sokongan kerajaan, dengan bermodalkan kasih sayang, semangat istiqamah dan ikatan kerjasama. Antara ciri paling signifikan masyarakat madani adalah mereka bukan milik negara, namun menjadi tulang belakang kepada kemampanan negara, sehingga masyarakat awam seakan-akan diurus secara automatik. Mereka juga tidak bermotifkan keuntungan dan merupakan pertubuhan sukarerela.

IMG_20170810_183823Adapun dari perspektif politik, masyarakat madani merupakan suatu organisasi atau gerakan yang bebas daripada campur tangan atau kawalan mana-mana parti politik. Setiap ahlinya barangkali mempunyai kecenderungan tertentu, namun ia tidaklah sehingga mempengaruhi keputusan mereka dalam menentukan hala tuju masyarakat. Mereka beriltizam dengan nilai kemanusiaan dan keadilan yang universal, serta bersama-sama bersatu dalam kepelbagaian demi menyempurnakan sesebuah misi secara kolektif. Kehadiran mereka adalah untuk mewarnai dunia ini dengan kasih sayang dan kemanusiaan, tanpa apa-apa motif luaran yang boleh mencemarkan integriti dan maruah pasukan mereka seperti kepentingan perniagaan, motif politik dan lainnya. Masyarakat madani tidak sesekali akan berhenti, walau apa jua pun visi dan warna sesebuah kerajaan itu.

Pada zaman inilah masyarakat madani berusaha menyelesaikan kemelut kemanusiaan dan membangunkan negara menerusi bermacam wasilah dengan tangan mereka sendiri. Ada yang tampil sebagai badan kajian ilmiah dan akademik, ada yang tampil sebagai badan kebajikan, pendidikan, kesenian dan lainnya. Dalam dunia kesukarelawanan, mereka tidak perlu lagi bergelut dengan birokrasi dan polisi-polisi yang menyusahkan dan memakan masa. Pada mereka, ini masanya untuk kemanusiaan, dan kemanusiaan mengatasi segalanya. Sekiranya sekolah tidak ada dinding, maka kita bina dinding. Sekolah tidak ada perpustakaan? Kita bina perpustakaan. Ianya semudah kerepek ubi.

Dalam pada itu, kerajaan atau pemerintah sedia ada tidak lagi sempat untuk menyelesaikan kesemua masalah. Abaikan retorik dan semboyan kosong yang berkumandang setiap kali menjelang pilihanraya. Sebahagian besar ahli politik memang lebih gemar bercakap sahaja, namun tidaklah semua.[1]Terkadang mereka begitu seronok merancang pembangunan bandar sehingga terlupa masih begitu ramai yang menganggur, kelaparan, kehidupannya berantakan, tidak berumah. Segala krisis dan hal-hal yang memerlukan rawatan segera tidak mampu dibereskan oleh kerajaan seorang. Sudahlah alam nasut ini huru-hara, alam semulajadi juga tidak dipelihara. Bagaimanakah interaksi antara masyarakat madani dengan kerajaan? Itu akan kami bahaskan dalam perincian berikutnya.

Oleh itu, dalam menghadapi cabaran getir semasa, masyarakat madani yang sedar tidak boleh berdiam diri dengan kezaliman ini. Usaha-usaha kebajikan yang dilakukan oleh masyarakat madani adalah amat penting, dan dilihat mampu memperkasa nilai-nilai sivil, semangat saling membantu dan bekerjasama, berlapang dada dan kesukarelawanan.

Kesedaran Sosial (al-Wa‘y al-Ijtimā‘ī) dan Impaknya dalam Pengislahan Masyarakat

locke3Esensi kebebasan yang diungkap secara sistematik oleh John Locke menerusi adikaryanya Two Treatises of Government telah menjadi teras kepada demokrasi moden pada hari ini, dan tidaklah terhitung banyaknya idea-idea politik dan sosial baharu yang tercetus daripada perbincangan mengenai konsep kebebasan ini. Kebanyakan wacana moden yang popular seperti masyarakat madani, feminisme, humanisme sekular, hak pengguguran anak, perkahwinan sejantina dan lainnya dapat dilacak bermuarakan konsep kebebasan yang telah termanifestasi menerusi sistem demokrasi.

Premis asal yang mengetengahkan manusia sebagai makhluk yang bebas secara alamiahnya telah menjadi justifikasi keabsahan kepada idea-idea yang bertunjangkan kebebasan dan demokrasi ini. Atmosfera demokrasi kemudiannya sebagai zeitgeist abad ini, telah mempengaruhi pandangan sarwa manusia untuk muncul dengan berbagai idea baharu yang berlandaskan kebebasan. Hal ini bermakna, fenomena demokrasi semenjak awal prosesnya sehingga sekarang, telah kedua-duanya dipengaruhi oleh sifat dalaman manusia, dan mempengaruhi tabiat pemikiran manusia. Maka dapatlah kita fahami bahawa penggabungjalinan konsep tradisional esensi mengatasi kewujudan dan eksistensialisme adalah humanisme (existentialism is a humanism) sebagaimana yang digagas oleh Jean-Paul Sartre akan menatijahkan kefahaman yang lebih komprehensif terhadap bagaimana manusia dan dunia ini berfungsi.

Meskipun wujud faktor-faktor lain yang membentuk pemikiran manusia sebagaimana yang dapat diakui daripada sudut pandang sosiologi (sociological perspective), namun adapun perubahan yang benar-benar mutlak itu pada akhirnya terlahir daripada pilihan manusia sendiri selaku makhluk yang mempunyai kebebasan kehendak (freewill). Sesuatu perubahan yang didambakan, walaupun disokong dan diperteguh dengan faktor ideologi, wang ringgit, kuasa politik dan undang-undang, sekiranya faktor kesedaran dalaman itu tidak wujud, maka mimpikan sahajalah perubahan itu. Sebagaimana yang telah disebutkan oleh al-Imam al-Ghazali, Thomas Hobbes, Erich Fromm serta ramai pemikir sosial yang lain, segala perubahan sosial yang berlaku mempunyai akarnya dalam perubahan dalaman individu.

heartcenter-1Kekuatan dalaman dan kesedaran sosial dalam diri individu itulah yang mampu menentukan hala tuju mereka seterusnya. Meskipun faktor persekitaran mereka tidak menggalakkan percambahan ilmu misalannya, namun sekiranya mereka memilih untuk mengasak akal mereka dengan fikiran yang berbagai, mereka pasti mampu melakukannya. Pilihan individu itu sendiri, yang merangkumi ketentuan hati nurani dan rasionaliti akalnyalah yang pada akhirnya akan menatijahkan perubahan.

Di samping pilihan individu, mendalami prinsip moral al-Qur’an dan menelaah sirah baginda SAW, kita akan mendapati bahawa setiap individu dalam umat Islam diberdayakan menerusi taklifan yang telah diberikan Allah kepada mereka. Perintah Tuhan yang begitu sakral disampaikan kepada manusia sebagai suatu bentuk amanah spiritual yang menghidupkan kesedaran untuk melakukan kebaikan dalam diri dan masyarakat. Sekiranya amanah Ilahi ini dihayati dan disemangati dengan hati yang jujur dan ikhlas, ia mampu mencetus suatu kekuatan masyarakat berkebajikan yang luar biasa dalam agenda pengislahan umat.

Maka dapatlah kita fahami bahawa masyarakat madani tidak semestinya memerlukan sistem demokrasi untuk menterjemahkan dirinya ke dalam realiti. Sebagai buktinya, memetik pemerhatian yang dilakukan oleh Dr Jasser Auda dalam fenomena kebangkitan Arab dan pascanya, masyarakat madani juga ditemui giat beraktiviti dalam iklim autoritarian yang anti-demokrasi di belahan Asia Barat. Ini bermakna sistem persekitaran demokrasi tidak menjadi elemen asasi kepada kewujudan masyarakat madani. Sebaliknya ia lebih berhajat kepada kekuatan spiritual dalaman, kesedaran sosial dan kebebasan untuk berbuat pilihan. Walaubagaimanapun, perlulah diperjelaskan di sini bahawa semangat demokrasi sememangnya tidak dapat dinafikan berpotensi menjadi pemangkin ampuh dalam menyumbang kepada kemunculan masyarakat madani.

Telos atau maqṣad yang ingin dicapai oleh masyarakat madani adalah kesejahteraan awam. Islam telah mengajarkan umatnya untuk melaksanakan kebajikan sosial berdasarkan sebuah hadis sahih al-Bukhari:

Sesungguhnya kaum beriman itu umpama sebuah binaan yang kukuh, mereka saling menguatkan antara satu sama lain.”

Tatkala seseorang berasa sakit, yang lain akan datang membantu. Betapa indahnya dunia yang cuba direalisasikan Islam. Ini merupakan tindakan yang berakar dari dalaman, yakni hati yang dipenuhi dengan sifat-sifat mulia. Inilah antara keadilan dan kemaslahatan yang sering disebut-sebut dalam teori fiqh dan maqasid. Meskipun hadis tersebut telah mengalamatkan kaum beriman secara khusus, namun segala kemaslahatan yang ingin direalisasikan demi manusia adalah sebahagian daripada Maqasid al-Shariah, dan kita semua maklum bahawa prinsip-prinsip maqasid ini merentasi umur, agama, bangsa dan jalur politik.

Inilah perbezaan yang ketara dengan zeitgeist individualistik di Barat yang mendominasi pemikiran mereka. Ideologi kapitalisme juga berasal daripada pemikiran individualistik ini. Egois. Segalanya secara tidak sedar hanyalah me, myself and I. Dalam kehidupan realiti, mereka langsung tidak menghiraukan apa yang berlaku kepada jiran mereka. Apa yang penting adalah diri mereka sahaja. Ternyata mazhab demokrasi sebagai mazhab rasmi yang dianuti rata-rata warga Barat tidak menjadi pemangkin perubahan sosial utama dalam konteks masyarakat madani, kerana kebajikan itu tidak dilakukan disebabkan sistem, akan tetapi kerana kebaikan dan keluhuran budi.

Tidak beriman salah seorang daripada kamu sehinggalah dia menyayangi saudaranya sebagaimana dia menyayangi dirinya.”

IMG-20170811-WA0012Menurut kefahaman konvensional, hadis tersebut menganjurkan galakan spesifik kepada umat Islam untuk saling menyayangi saudaranya atas dasar keimanan. Walaubagaimanapun, menariknya al-Imam Rajab al-Hanbali tatkala mengulas mengenai hadis ini menyebutkan bahawa kalimah persaudaraan (ukhwah) yang dimaksudkan oleh hadis tersebut adalah lebih umum merujuk kepada al-ukhwah al-insāniyah (hubungan kemanusiaan), bukan eksklusif kepada penganut Islam sahaja. Perkara ini sebagaimana yang dinukilkan oleh seorang sarjana fiqh kontemporari kelahiran Mauritania, Shaykh Abdullah bin Bayyah dalam tulisannya al-Qiyam al-Mushtarakah.[2] Inilah kekuatan dan kesedaran sosial yang membantu perkembangan masyarakat madani.

Proses penyedaran (conscientization) adalah penting untuk menjadikan rakyat sedar akan hak-hak asasi yang mereka miliki, dan menggalakkan mereka agar memanfaatkannya serta melindunginya daripada pencerobohan mana-mana pihak.[3] Prestasi masyarakat madani yang baik juga bergantung kepada partisipasi rakyat dalam proses demokrasi dan pembangunan intelektual, spiritual dan fizikal masyarakat.

Mewaspadai Cabaran Budaya Ketakutan (the Culture of Fear)

Islam telah menganjurkan umatnya agar melakukan perubahan ke arah kebaikan sesuai dengan kapasiti diri sendiri (iṣlaḥ ma istaṭa‘ta). Maka dalam konteks mahasiswa, lakukanlah islah dan amal soleh yang realistik dan mudah. Melakukan kebaikan tidak memerlukan arahan sesiapa. Jangan menunggu arahan, jangan menunggu kawan. Jalan terus. Antara petanda kematangan sesuatu masyarakat adalah, apabila dia sudah berikhtiar akan sesuatu, dia lakukan sahaja. Dia tidak akan membiarkan lamunan fikiran negatif atau peremehan orang lain untuk menghalangnya daripada melakukan apa-apa kebajikan atau pengembaraan. Ibarat nasihat keramat Nike, just do it.

Sekiranya kesedaran dari dalam diri yang melahirkan masyarakat madani dalam konteks sosial, maka rasa was-was pula menjadi pemusnah hasrat murni untuk melakukan kebaikan. Kadang-kadang, kita merasa gugup ketika ingin melakukan apa-apa aktiviti kesukarelawanan. Pelbagai fikiran negatif yang berlegar dalam minda. Kita khuatir, sekiranya kita tidak memohon keizinan untuk menjadi sukarelawan maka kita melanggar undang-undang. Kita cemas, sekiranya diwujudkan diskusi yang kritikal, kita akan dihadapkan ke pihak pentadbiran universiti.

7-fear-has-stolenKetakutan ini dipancarkan dan disebarkan oleh mereka yang ingin memenjarakan minda-minda yang bebas. Perbuatan menyebarkan ketakutan (terrorism) dan mewujudkan budaya ketakutan (culture of fear) adalah merupakan alat penting bagi pemerintah untuk mengawal manusia lain. Ia kemudiannya menjadi semacam unsur yang timbul dari dalam diri sendiri. Perasaan takut terhadap manusia ini merupakan perasaan yang lahir dari jiwa yang tidak merdeka dan minda yang tertawan (captive mind). Antara alamatnya adalah membesar-besarkan risiko yang kolot dan takut akan peraturan picisan. Maka bertafakurlah untuk seketika dan renungkan ke dalam diri. Sebenar-benarnya apa yang harus kita takutkan ini? Bukankah kita ini hamba Allah yang merdeka?

Tidaklah dinafikan secara mutlak bahawa memikirkan risiko-risiko itu ada bagusnya, sebagai langkah berjaga-jaga dan bersiap sedia dengan pelan B. Al-Imam al-Shatibi telah merangka sebuah teori wawasan futuristik dalam fiqh yang disebut sebagai al-Naẓar ila al-Ma’āl (melihat kepada implikasi). Teori fiqh ini mempertimbangkan implikasi yang akan dihasilkan oleh sesuatu ijtihad pada masa hadapan.

Walaubagaimanapun, dalam meramal impak masa hadapan berdasarkan premis-premis tertentu, baik impak positif mahupun negatif, kita seharusnya fokus kepada memikirkan solusi dan jalan keluar, dan bukannya fokus pada jalan yang terhalang. Jangan sesekali menjadikan risiko sebagai penghalang untuk kita melakukan sesuatu kebaikan. Sekiranya wujud penghalang, carikan jalan yang lain. Kadangkala, penyelesaian sesuatu masalah adalah lebih mudah daripada apa yang kita sangkakan.

Rasulullah SAW menerusi sebuah hadisnya telah menyuruh kita menanam benih pokok, meskipun jika esok kiamat. Persoalannya, adakah benih tersebut akan sempat bercambah? Tidak. Maka, mengapa kita menanamnya? Kita melakukannya kerana ianya adalah perkara yang paling benar untuk dilakukan ketika itu.

Mewujudkan Ruang Baru sebagai Alternatif

Psikologi masyarakat Malaysia telah terbentuk dengan perspektif hitam-putih dalam menanggapi sesuatu, terutamanya dalam politik. Jika anda bukan biru, maka anda hijau. Hakikatnya, politik merupakan wasilah kepada keadilan yang bersifat ijtihādī, ia tidak semudah perkara yang thābit yang sememangnya hitam-putih. Masyarakat madani hadir sebagai pihak ketiga untuk memecahkan pemikiran dualistik yang sempit ini. Dengan wadah yang terbuka kepada orang awam, dan meraikan partisipasi orang ramai, masyarakat madani merupakan salah satu cara untuk memperkasa suara rakyat bawahan, menerusi persatuan-persatuan dan NGO yang bebas daripada pengaruh parti politik. Di sinilah, masyarakat madani berperanan dalam berinteraksi dengan kerajaan.

560a3035a27d5Masyarakat madani akan menjadi kuasa pendesak ke atas pemerintah, secara langsung atau tidak langsung, kerana mereka mewakili masyarakat secara keseluruhannya. Posisi masyarakat madani yang terletak dalam wilayah kelabu (grey area) akan menjadikan suaranya lebih mudah didengari oleh semua pihak, tanpa unsur prejudis kerana ketidak-berpihakannya. Dalam konteks bermasyarakat, masyarakat madani akan dianggap semacam jawatankuasa rakyat.

Namun atmosfera semasa di tanah air seolah memperlihatkan tiadanya kebebasan, hatta di universiti juga, tempat yang seharusnya menyubur budaya intelek para profesor dan mahasiswa. Rata-rata institusi dihimpit budaya ketakutan merencatkan segala perkembangan ilmiah yang kritikal. Untuk itu kita perlukan wacana bebas.

Menariknya Prof Jürgen Habermas telah mengusulkan ideanya mengenai masyarakat madani menerusi konsep ruang awam (public sphere). Ianya merupakan suatu platform awam di mana masyarakat bebas berbahas, berdiskusi dan berdebat tentang isu-isu semasa, idea-idea yang segar, masalah awam dan lainnya. Ia mampu menggantikan posisi perwakilan rakyat yang tidak menjalankan tugas dengan mengutip pandangan dan keluhan masyarakat. Hasil perbincangan dan pandangan masyarakat akan disampaikan dan didakwahkan kepada masyarakat awam, agar idea-idea tersebut menjadi tindakan.

Darihal kewujudan ruang alternatif untuk berbincang sesuatu permasalahan dan isu dalam suasana yang lebih kritis dan jujur, serta terbuka kepada kritikan-kritikan bebas daripada awam, perbincangan-perbincangan sebegini dilihat amat giat dijalankan oleh golongan anak muda di mana-mana, dan mahasiswa dan mahasiswi tidak terlepas daripada mewujudkan ruang perbincangan sebegini di universiti-universiti mereka. Sekiranya tiada wacana sebegini di menara gading, masyarakat madani yang berkesedaran berperanan besar untuk mewujudkannya. Tanpa kebebasan fikiran, kata José Rizal, kemanusiaan tidak akan tertegak.

Rata-rata mahasiswa universiti sedar akan kelompongan dalam sistem pendidikan di peringkat tinggi, lantas mereka sudah kehausan ilmu dari dimensi yang baharu. Mereka mahukan perbincangan yang lebih kritis dan mencapah, dan bukannya disuap sahaja (indoctrinated). Pengejaran 4-flat yang sering dikumandangkan sesama mahasiswa disedari sebagai perjuangan yang tidak murni, kerana matlamat tertinggi pembelajaran dalam Islam adalah untuk meraih ilmu, bukannya anugerah dekan.

Oleh itu, di sinilah sfera awam telah diwujudkan untuk mencapai kesimpulan yang sama. Ia merupakan tempat di mana mereka bebas untuk berkongsi, berbincang dan berdebat mengenai isu-isu semasa, meransang otak berfikir, membentuk pandangan dan pendapat. Kebajikan masyarakat madani dalam konteks universiti menerusi wacana-wacana dan diskusi yang bermatlamatkan penyebaran ilmu adalah sesuai dengan semangat sebenar sebuah universiti. Ruang alternatif diwujudkan agar perbincangan dapat dijalankan secara neutral dan kritis, suatu tempat di mana mahasiswa bebas untuk mengkritik kesalahan mana-mana pihak yang dilihat bermasalah di samping mengemukakan solusi dan idea-idea segar.

Grup Diskusi dan Revolusi Keintelektualan

Jamaluddin al-Afghani terkenal dengan kegiatannya membuka ruang perbincangan awam di kedai-kedai kopi semasa menetapnya beliau di Mesir dahulu. Beliau sebagai sosok genius yang sememangnya menguasai banyak cabang ilmu, meluangkan masa untuk memberi pandangan dan menjawab persoalan daripada rakyat Mesir saat mereka ditekan oleh pemerintah. Perbincangan awam ketika itu sering didominasi oleh mahasiswa al-Azhar. Di lapangan awam sebeginilah Muhammad Abduh bertemu dan terpesona dengan keilmuan yang dimiliki oleh al-Afghani.

IMG_20170810_193505Grup diskusi seperti ini telah wujud banyak sekali di universiti-universiti sekitar Malaysia, dan ia akan terus bertambah seiring kehadiran individu-individu baru ke dalam kampus universiti. Di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Gombak, grup pecinta buku Bibliophilia telah memulakan langkah mewujudkan ruang alternatif seawal September 2012. Perbincangan sesama pelajar berkaitan isu kontemporari, permasalahan individu dan masyarakat secara kolektif, serta perbahasan lainnya yang dilakukan secara tidak formal di luar bilik kuliah, bertepatan dengan konsep sfera awam dan semangat keilmuan sebuah universiti. Universiti mestilah difahami sejarah penubuhannya dalam konteks budaya dan masanya.

Kewujudan grup diskusi ini telah mencetuskan revolusi dalam pembelajaran. Ia seakan menjadi satu fenomena pembudayaan ilmu abad baru yang dijana oleh mahasiswa-mahasiswi universiti, dan budaya ilmu ini semakin meluas, menembusi benteng pohon kelapa dan ketebalan hutan masuk ke ceruk kampung. Kesemuanya ini tentu tidak akan terlahir tanpa pemerkasaan masyarakat madani.

Khatimah

Menyedari dengan sepenuh kesedaran akan konteks dan realiti masyarakat pada masa kini, kami mengakui bahawa jalan untuk menuju ke arah pembinaan masyarakat madani yang ampuh dan merdeka itu berliku-liku dan penuh cabaran. Selain cabaran ekonomi, cabaran politik autoritarian yang dimainkan oleh para pemerintah kuku besi juga menjadi penghalang kepada kesuburan budaya demokrasi. Masyarakat madani yang berteraskan demokrasi tidaklah berfokus kepada tuntutan kebebasan dan hak asasi semata-mata, akan tetapi juga menumpukan perhatian untuk melunaskan tanggungjawab mereka terhadap maslahat awam.


[1] Henry Kissinger menyebutkan, 90% daripada ahli politik itulah yang sering mencemarkan imej 10% ahli politik yang lain.

[2] http://binbayyah.net/arabic/archives/148

[3] Anwar Ibrahim, The Asian Renaissance. Cetakan kedua. (Singapura: Times Books International, 1997), hlm. 59.


Leave a comment